DINAMIK suatu hakikat MASA! Petanda kasih dan kuasa!

Assalamualaikum wbt, 


Aku merasakan dinamiknya masa beserta rahmat ALLAH


Beberapa bulan ini, aku merasakan masa itu dinamik kerana banyak yang telah berubah. Lain dari dahulu. Mungkin perubahan yang berlaku kecil sahaja pada pandangan orang lain. Tapi kerana cara ia berlaku menyebabkan aku merasakan masa itu dinamik. Suatu semangat dan keadaan yang tidak aku rasakan dengan sebegini kuat dahulu.


Contohnya, saat pulang ke tanah air dari Bumi Permaisuri selepas sembilan bulan, aku merasakan keluarga aku sudah menginjak dewasa. Adik-adik aku sudah ramai yang meninggalkan rumah. Menyambung pelajaran sebagaimana aku. Tapi bezanya ia berlaku saat aku tiada di rumah. Besar bezanya bagi aku, kerna dulu andai ada yang masuk asrama, aku ada melihat persediaannya dan pemergiannya. Tapi kini, aku pulang hanya tinggal dua orang adik di rumah menemankan mak dan abah. Tiba-tiba rumah yang dahulu penuh dengan sembilan isi rumah terasa lengang. Subhanallah.


Apa yang aku sudah lalui juga banyak dan berbeza! Kalau dulu semuanya hampir sama. Sekolah, belajar, kawan-kawan dan perkara-perkara biasa. Tapi sekarang, pengalaman hidup aku sudah berbeza. Semakin banyak yang aku lalui dan yang paling penting berbeza-beza! Sekarang tempat yang aku sudah kunjungi bertambah bilangannya. Dan ia suatu pembaharuan dalam hidup aku. Kerna aku bukan anak siapa-siapa. Berjalan ke mana-mana bukan suatu kebiasaan. Banyak benar nikmat ALLAH bagi aku. 


DIA sangat banyak rahmat. Dan DIA berikan aku secebis. 
Dengan rahmatNya aku dapat melihat dan merasakan ais dari langit! 




Dengan rahmatNya aku dapat ke Haramain walau mungkin penghayatanku tidak seberapa. Semoga DIA masih menjemputku untuk menjenguk Haramain lagi andai umurku panjang. 




Yang paling penting, dengan rahmatNya, aku dapat menyambung pelajaranku di UK. Bumi yang jauh dari tanah air tapi mendekatkan aku padaNya. Betapa DIA menyusun hidup aku jauh dari apa yang mampu aku bayangkan. Malah DIA menyusun hidup ramai lagi insan yang mudah lupa dan lemah tanpa mampu kita bayangkan. Kan? 


Dan nikmat yang aku sebut-sebutkan itu hanya sedikit dari cebisan-cebisan rahmat yang DIA kurniaankan pada aku. Andai aku katakan rahmatnya itu hanya bagai cebisan, dan yang aku sebut-sebutkan itu hanya sedikit, maka banyak benar dan luas benar rahmat Tuhan Yang Esa ini. Tuhan, tempat meminta segala sesuatu. [112:2]


Segala puji bagiNya. Tiada yang dapat menggantikan Kekuasaan Tuhan ini dan Kasih Rahmat Tuhan ini. 


Tidaklah aku katakan bahawa sepanjang-panjang masa ini aku diberikan nikmat semata. Ada ujianNya juga. Malah ujian-ujian itu juga membuatkan aku merasakan bahawa masa ciptaan Tuhan ini sangat dinamik. Sebentar hati gembira. Sekejap mata bergenang. Seketika jiwa berbaur. Macam-macam. Pelbagai yang berlaku. Andai tidak percaya, cubalah muhasabah. Kirakan apa yang telah berlaku dalam jangka waktu hidup kita. Pilih sahaja dari bila-bila dan fikirkan apa yang berlaku. Kaitkan dengan siapa kita dan bagaimana ia berlaku. Kesannya pada harini. Macam-macam. Fikirkan segalanya. Pasti nyata ia mengatakan segalanya berlaku dengan amat tersusun lagi berhikmah. Mungkin kita pernah mengeluh untuk sesuatu di suatu saat tetapi untuk saat seterusnya kita mengucapkan syukur. Atau mungkin juga sebaliknya. Ragam manusia. 


Ia dinamik kerana ia kehidupan


"Masa itu kehidupan" kata seorang kakak dalam sharing ketika Kuliah Subuh Online pagi semalam. Malah aku rasa ramai juga yang pernah mengatakan dan sedang merasakan bahawa masa itu kehidupan. 


Daripada pepatah "masa itu emas", kita diajarkan bahawa masa itu berharga. Tapi, sepotong frasa "Masa itu kehidupan" bagi aku lebih besar maknanya kerana ia sesuai dengan sifatnya yang dinamik. Sentiasa berubah, berkembang dan berterusan. Tapi ini hanya buah fikirku. Tiada ayat Quran mahupun hadith yang dapat aku sertakan untuk rujukan.


Aku merasakan hidup aku berubah dan masa yang aku lalui berlalu. Saat aku merasakan itu, aku terbaca entry seorang akhawat tentang Kepatuhan angin pada Sulaiman b Daud. Pesanan yang cuba disampaikan mengetarkan jiwa. Jauh dari kecomelan yang aku rasa saat membacakan tajuk tersebut. MashaALLAH. Dan dalam masa yang sama, peringatan tentang masa hidup dan pertanyaan tentang penggunaannya di Hari Akhir kelak turut mengetuk kotak fikir dan hati aku. 





Tidak melangkah seorang hamba di hari akhirat kelak
sehingga dia ditanya tentang umurnya pada apa ianya telah dihabiskannya,
masa mudanya pada apa yang telah dipenuhkannya,
hartanya dari mana ia mendapatinya dan ke mana ia dibelanjakannya
dan ilmunya apakah yang telah dilakukan dengannya'

(Hadis riwayat Tirmidzi)



Betapa sebenarnya masa itu suatu ciptaan Tuhan yang istimewa dan datang kepada manusia bersama tanggungjawab yang berat. Ia mendokong nilai kehidupan dunia dan akhirat seorang manusia. Bagaimana masa itu dimanfaatkan di dunia menentukan samada redha ALLAH bersama dengannya atau tidak dunia dan akhirat. Bagaimana masa itu digunakan menentukan berapa banyak kebaikan dan berapa banyak keburukan yang dikumpulkan atau juga berapa banyak yang dibazirkan kosong! Akankah kita membiarkan ciptaan Tuhan ini berlalu kosong atau diisi dengan amalan-amalan yang hanya merugikan? 


Sampai bila kita mampu mengira waktu? Sebagai orang yang beruntung atau sebagai orang yang rugi? 
Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih Maha Penyayang
Demi masa. 
Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian, 
kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebaikan 
serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran 

[103:1-3]

Pada hari itu, manusia keluar dari kuburnya dalam keadaan berkelompok-kelompok 
untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) semua perbuatan mereka. 
Maka barang siapa mengerjakan kebaikan sebesar zarrah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. 
Dan barang siapa mengerjakan kejahatan sebesar zarrah, nescaya dia akan melihat (balasan) nya. 

[99: 6-8]




Perkongsian pemikiran- 
Tinta Penuntut- Masa itu Kehidupan P/S: Entry ini aku jumpa saat mencari secara random pada siapa-siapa yang merasakan "Masa itu kehidupan"

Comments

Popular posts from this blog

Pahit bak hempedu..

keunikan suku Quraisy

Ama Zilna