Saturday, February 23

Bila hati rasa rindu

Menanti menanti,
Menginginkan rasa kosong itu diisi,
Tapi apa lagi yang diingini?
Kenapa wahai diri engkau masih mencari,
Dia sudah cukup untuk memenuhi,
Bukankah Dia Ilahi wa Rabbi?

Saturday, February 16

Kerehatan dan Kelalaian

Pintu ditutup. Delia berjalan menuju ke meja tulisnya. Segala yang lain tidak diendahkan. Dia menarik kerusi berkusyen lusuh yang sentiasa setia menemani meja tulisnya. "Alhamdulillah" lega rasa badan saat melabuhkan punggungnya pada kusyen kerusinya. Delia membetulkan duduknya. "Allahu Rabbi..." lafaznya dengan penuh rasa takjub, syukur dan rindu.

Delia takjub pada Rabbnya yang telah memelihara dan menyusun hidupnya. Tiap-tiap saat kehidupan yang dilaluinya benar-benar meninggalkan kesan pada hatinya. Beberapa lama telah berlalu, rasanya mungkin dua atau tiga minggu yang lalu, perasaannya terasa sempit, jiwanya tersiksa. Dia bersedih. Padanya dia menyangka Tuhan Rabbul 'alamin sedang marah kepadanya. Dalam tugasan dan tanggungjawab yang datang bertimpa-timpa minta diselesaikan, dia gagal menunaikan beberapa hak tanggungjawabnya. Mulanya dia menerima itu sebagai kelemahan diri. Tapi semakin lama, Delia semakin teruji. Hatinya dirudung kerisauan dengan tugasan-tugasan yang masih terbengkalai. Dirinya diserang rasa bersalah. Tugasan ini dikejar, tugasan yang lain keciciran. Jadi mana jujurnya aku dalam tugasanku? Semakin difikirkan, semakin kalut fikirannya. Mana tidaknya, tiada usaha yang menyusul. Yang ada hanyalah alasan untuk berehat. Perlu bertenang. Kalau bertenang kemudian berusaha dengan jujur baguslah, malangnya, bertenang disusul lagi dengan bertenang; berehat disusul lagi dengan berehat. 


Dan sungguh kerehatan itu adalah tanda kelalaian. Dia merasakan dirinya sedang disiksa dengan dosa-dosa semalam. Kelalaian-kelalaian semalam. Delia tidak betah dan tidak kuat diuji sebegitu. Merasakan Maha Penyayang sedang murka padanya membuatkan dia tidak keruan. Hari-hari seakan menyesakkan. Manakan tidak, merasakan kekosongan dari ditemani Tuhan Yang Maha Esa, pemberi kekuatan setiap masa; pastilah suatu yang menyeksa jiwa. Dia merasa ingin menangis kerana kekosongan itu. Tapi hatinya..?

Dia semakin rapuh. Dia tahu dia semakin rapuh. Dia tahu itu dari tingkahnya sendiri. Bila masa dia memilih kelalaian atas kelalaian maka dia dia tahu ia tanda iman sedang lemah dan semakin melemah. Bukankah Ar-Rasul sudah menceritakan, iman itu naik dan turun? Naiknya dia kerana amal soleh, lemahnya dia kerana maksiat. Nah, itulah kesannya bermalas-malasan. Bukanlah tidak boleh berehat atau 'bertenang'. Tapi kalau sudah berlebihan, rosaklah iman itu dengan tangan kita sendiri. Sikapnya yang terlalu risaukan tugasan-tugasannya tanpa menguatkan motivasi untuk berusaha menyelesaikannya, memburukkan lagi keadaan hatinya dan semangatnya. Tiada pengharapan yang ikhlas dari lubuk hati yang dipanjatkan agar diberi kekuatan. Delia berdoa sebelum memulakan tugasnya, tetapi beberapa ketika setelah memulakan pekerjaannya, Delia pasti tewas. Ada sahaja tugasan lain yang dicicipkan. Sekali lagi, lalai. Ah, bukan sekali. Berkali-kali. Semuanya saling berkait. Kata orang vicious cyle! Ya! Vicious cycle. Kalau tak diputuskan jaringan itu akan matilah iman, menangis lah hati. Malah Delia dapat menilai hatinya yang sedang sakit. Mungkin sedang mengeras. Bukankah kekhusyukannya dalam doa-doanya makin kurang? Doa-doanya tidak lagi menjadi pemberi semangat dan senjatanya dalam melawan hasutan syaitan terhadap nafsunya. 

Delia bermuhasabah lagi. Dia ingat, "Allah.." "Allah..." "Fa'fu 'anni Ya Rabbi" "Faghfirli ya Rabbi" inilah lafaz yang dia sampaikan saat dia tersedar dari kesalahannya. Sekurang-kurangnya saat itu dia tahu masih ada sebahagian hatinya yang masih hidup, cuma sudah banyak tertidur. Mungkin kerana 'hatinya tidur' lemahlah semangatnya untuk terus kuat mujahadah terhadap bisikan jahiliyyah. Dia risau andai nanti, seruan permohonan ampunnya akan semakin perlahan, perlahan dan akhirnya surut. Dan lagi... dia risau. Malangnya, tetap tiada apa yang hebat yang berlaku. Cumanya, dia cuba ikhlaskan hatinya. Mencari kembali dirinya. "Ya Allah, berikan aku jalan"

"Subhanallah! Walhamdulillah.!"

Semalam Delia bertemu dengan adik-beradik usrahnya. Dia cuba mencari kekuatan. Pengisiannya tafsir. Dia rindu. Rindu pada bicara tafsir. Penghayatan pada pesan-pesan Rabbul Karim. Dan dia mohon agar tadabbur dan perbincangannya nanti akan menyucikan hatinya. Mengembalikan nilai dirinya. Menguatkan semangtanya. 

Wahai orang yang berselimut! Bangunlah (untuk solat) pada waktu malam, kecuali sebahagian yang kecil darinya.. (73:1-2)

Dari situ, Delia mengutip serpihan hati-hatinya. Dia mohon pada Tuhan agar diizinkan untuk dicantum balik serpihan-serpihan itu dengan peringatan-peringatan Al-Quran yang mulia. Dan atas kesedaran dan secebis semangat itu, Delia memanjatkan syukur pada Tuhannya.

"Janganlah ya Tuhan, Engkau uji aku dengan hilangnya iman. Kosongnya hati dari kecintaan padaMu. Sungguh, aku rindu padaMu"

Dan sungguh, iman yaazid wa yanqus; yaazid bil tho'ah, yanqus bil maashiat. Iman bertambah dan berkurang, bertambah dengan ketaatan, berkurang dengan kemaksiatan. 




***Perkongsian :-
1- Ibadah tidak berkualiti
2- Hati yang tidak khusyuk
3- Berlebihan dalam perkara mubah
4- Tidak menghadiri majlis ilmu
5- Mengalami gejala kesedihan dan kerisauan berlebihan 


## Moga Allah memberi kita kekuatan.