Refleksi Hati: Hanya Yang Beriman Akan Bertahan

Dicelah kesibukan mengemas rumah, selesai juga aku menghabiskan bacaan Takdir, karya Hilal sehingga Cheritera 9. Punya pengajaran yang menimbulkan persoalan di hati. Tentang keimanan. Mengingatkan pada sepotong firman Yang Esa:


أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ 
Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, "Kami telah beriman, " dan mereka tidak diuji? (Al-Ankabut 29:2)


Perlukisan kehidupan watak-watak Takdir nyata menceritakan cabaran hidup apabila kebatilan berusaha menjatuhkan kebenaran. Tetapi bukan kisah itu yang hendak aku bicarakan sebaliknya inspirasi keimanan yang menusuk yang ingin aku ceritakan. 

Buat apa sahaja yang telah berlaku, itu takdir ALLAH. Pasti ada hikmah pada setiap ketentuannya. Pasti! 
Dan hanya yang beriman dan benar-benar beriman akan menerima segala ketentuan, samada baik atau buruk, dengan penerimaan terbaik sebagai seorang hamba. 

Hidup pasti penuh ujian kerana DIA akan menilai yang mana benar beriman yang mana tidak. 
Hidup pasti penuh ujian kerana DIA akan menilai yang mana layak dikurniakan syurga yang mana tidak. 

Ujian ALLAH punya pelbagai bentuk. 
Nikmat- Kepandaian, harta, sahabat, kesihatan, kesenangan dan senarainya terus berlanjutan. Kerana nikmat-nikmat ALLAH sememangnya tidak terkira. 

Kesempitan- Kemiskinan, kekurangan harta, kebencian makhluk, kegagalan setelah berusaha dan seterusnya. Kerana ALLAH Maha menjadikan segala apa jua. 

ALLAH pasti menguji. Pasti!

Yang beriman dan benar-benar beriman pasti akan berjaya menghadapi semuanya kerana bagi yang benar percaya pada 

kuasa Yang Maha Besar, 
kasih Yang Maha Pengasih, 
ihsan Yang Maha Mengasihani, 

DIA telah menjanjikan jalan keluar yang akan tiba dalam pelbagai bentuk yang tidak pernah disangka-sangkakan oleh seorang hamba: 


Dan sesiapa yang bertaqwa kepada ALLAH (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya ALLAH akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberi rezeki dari jalan yang tidak terlintas dihatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada ALLAH, maka ALLAH cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya ALLAH tetap melakukakan segala perkara yang dikehendakiNya. ALLAH telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. (Al-Talaq 65: 2-3)

Bantuan ALLAH itu PASTI. Pasti! Dengan izinNya!

Semoga ALLAH menguatkan keimanan mereka yang ingin terus istiqamah pada jalanNya. 
Semoga ketaqwaan terus dibina bersama tawakal pada Yang Esa. 

Walau apa yang berlaku, pada saat yang akan datang, wahai Yang Maha Pengasih lagi Berkuasa, kuatkan kami dan kukuhkan kepercayaan kami kepadaMu. 

Sekali lagi: 


Comments

Popular posts from this blog

Pahit bak hempedu..

keunikan suku Quraisy

Ama Zilna