Sentuhan-sentuhan Tuhanku
MUSIM SYAHADAH Sekarang ni musim SH di tanah UK. Aku rasa di kebanyakan tempat pun, di mana sahaja yang putik-putik tarbiyah sedang tumbuh. Semakin aku meniti jalan dakwah dan tarbiyah ni, semakin aku sayu mempelajari hakikat hidayah itu milik Tuhan. Betapa kefahaman dan keimanan itu, berbeza maqamnya. Mengimani hakikat hidayah itu milik Tuhan.. subhanallah, suatu pengalaman yang benar-benar menundukkan. Sejarah menunjukkan walau seorang Nabi, walau seorang Rasul, kamu tidak mungkin akan mampu mengubah hati seorang manusia untuk beriman pada Tuhan dengan sebenar-benar keimanan. Tidak kiralah dia adalah Nuh a.s yang tabah ataupun Muhammad S.A.W yang al-Amin. Tiada yang dapat membuka hati seorang manusia, melainkan Tuhan Rabbul Alamin. Tahun berganti tahun, ALLAH mengajarkan aku makna ini. Setiap tahun, perasaannya berbeza. Pedih-sukar-risau... kini berubah menjadi kelat dan berbuah ketundukan hati. Tuhan ingin menguji kejujurankah? Tuhan ingin menguji ketabahankah...