Ikhlas dan Takwa

Bismillahirrahmanirrahim...

Pagi tadi aku baca Quran dan ALLAH temukan aku dengan ayat-ayat indah dalam surah Al-Hajj. Sangat tersentuh kerana ia membicarakan tentang bagaimana untuk dekat dengan ALLAH.

Firman-Nya:

(Beribadahlah) dengan ikhlas kepada ALLAH, tanpa mempersekutukan-Nya. Barangsiapa mempersekutukan ALLAH, maka seakan-akan dia jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau diterbangkan angin ke tempat yang jauh. (31) Demikianlah (perintah ALLAH). Dan barangsiapa mengagungkan syiar-syiar ALLAH maka sesungguhnya hal itu timbul dari ketakwaan hati. (32). 
Surah Al-Hajj 22: 31-32

Indahnya perasaan tatkala membaca bait-bait firman ini kerana aku merasa ia bagai satu pujukan. Lembut terus ke hati. Dan siapa lagi yang Maha Lembut selain dari-Nya. ALLAH menyeru, beribadahlah dengan ikhlas. Tiada yang mengetahui keikhlasan seorang hamba, manusia yang kerdil melainkan Dia sahaja. Malah malaikat hamba abid yang dekat dengan-Nya juga tidak tahu. Sangat rahsia ikhlas itu. Tapi ALLAH tetap menyeru kepada keikhlasan dalam beribadah kepada-Nya. Firman-Nya lagi segala amalan itu timbul dari ketakwaan hati.  Dengan dua ayat sahaja ALLAH sudah mampu membawa hambanya untuk muhasabah. 

Ikhlaskah aku dalam ibadahku? Takwakah aku pada-Nya? Sudah cukupkah amalan dan perjuangan iman dan hati dalam menjatuhkan nafsu dan hasutan musuh terlaknat. 

Itu bicara hati tatkala bila memikirkan ayat-ayat ini...dan ayat 2 surah Al-Mulk sekali lagi mengetuk hati..memberi peringatan pada hati yang lalai: 

Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia Maha Perkasa Maha Pengampun. 
Surah Al-Mulk 67:2

Sesungguhnya hidup sebagai manusia banyak ujiannya kerana islamnya seorang manusia adalah pada pilihannya. Islam (tunduk, patuh) manusia beza sekali dengan islam sebiji batu atau seekor burung, atau sepohon pokok. Beza. Sangat berbeza kerana segala makhluk lain itu islamnya pada sunnatullah. Suatu fitrah. Tapi manusia diberi pilihan untuk memilih sebagaimana ALLAH firmankan dalam Surah As-Syams di mana Dia bersumpah demi seluruh ciptaan-Nya yang agung, malah demi ciptaan manusia sendiri yang sempurna, bahawa manusia itu islamnya dengan pilihan: 

Demi jiwa serta penyempurnaan (ciptaan)nya. (7) Maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketakwaannya. (8) Sungguh beruntung orang yang menyucikan (jiwa itu) (9) Dan sungguh rugi orang yang mengotorinya. (10)
Surah As-Syams 91: 7-10

Tetapi kenapa Tuhan Yang Agung menceritakan tentang ketakwaan lewat pujukan supaya hamba-Nya beribadah dengan ikhlas. Kenapa? Apa kaitan keikhlasan dengan ketakwaan? 

Dan ini kefahamanku: 

Takwa dimaknakan sebagai rasa takut pada Tuhan. Tapi bukan takut yang menjarakkan hamba itu dengan Tuhan. Takut dalam ketakwaan itu takut yang buahnya cinta. Takut kerana kagum, gerun dan takjub dengan kekuasaan Tuhan. Lahir dari keimanan bahawa ALLAH itu Maha Esa, Maha Kuasa. Kuasa yang meliputi seluruh alam. Dan  itulah takwa. Dengan takwa amal akan terpelihara. Kerana amal yang disertai takwa adalah amal yang dikerjakan dengan berhati-hati. Amal yang cuba dikerjakan sesuai dengan ajaran ALLAH dan Rasul (Tapi mufasir menceritakan 'syiar-syiar ALLAH' dalam ayat 22:32 itu sebagai amalan haji) 

Jika dimuhasabahkan ayat ini dengan amal ibadah harian yang disyariatkan dalam ragka untuk menyucikan Yang Esa. MasyaALLAH..banyak benar kekurangannya pada ibadah itu. Malah solatnya sukar benar untuk khusyuk. Pengajaran dari ayat-ayat firman Tuhan yang telah dipelajari juga payah benar untuk dipraktikkan. Sukar. Sukar amat. Bagai berperang dalam jiwa. Nafsu..Kejahilan dengan keinginan untuk kembali pada ALLAH. Kembali pada ajaran-Nya. Kadang-kadang mujahadahku tidak kecukupan. 

Dan jika diluaskan kerangka amal islami, pasti banyak lagi kekurangan dan lompang dalam kehidupan hamba kerdil ini. Kenapa ya ALLAH... Kuatkan imanku. Kuatkan hatiku ya Rahman..

Moga ALLAH menguatkan mujahadahku. Dan semoga hatiku terus berbisik pada Tuhan Yang Maha Pengasih. 

(Wahai ALLAH... Wahai ALLAH..Wahai ALLAH...)


Comments

Popular posts from this blog

Pahit bak hempedu..

keunikan suku Quraisy

Ama Zilna