Langit

Ada suatu saat kurang dua tahun untuk mencukupi satu dekad, ALLAH membawa aku jauh dari keluargaku, jauh dari teman baikku. Dalam keterujaan mengenal dunia baru, rasa rindu tetap mengisi ruang hatiku. Rasa itu kerap sekali bertamu bahkan terkadang mengundang gundah, kadang pula meninggalkan aku dengan rasa kosong.
LANGIT DAN KETENANGAN
Kemudian, dalam hati-hari yang berlalu, takdir Tuhan membawa aku belajar meneliti firmannya dengan lebih kerap. Dalam suasana baru, aku belajar membelek mushaf dan memperhatikan pengajarannya. Masih lagi aku ingat salah seorang teman rumah baruku itu, hafalannya baik dan antara ayat yang sering dibacakan ketika tiba gilirannya mengimami solat kami adalah ayat-ayat akhir surah Ali-Imran.
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (190) (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka. (191) Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun; (192) Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: ` Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu ', maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti;(193) Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasulMu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji". (194)
Dari saat itu aku belajar mencari ketenangan dari langit. Kemudian aku bertemu dengan ayat-ayat lain seperti firman Tuhan dalam Ar-Ra’d.
"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia. (28)
Ayat ini membenarkan lagi rasa hatiku – benarlah dengan mengingati ALLAH hati akan merasa tenang. Dalam menghayati keindahan langit, ketenangan pasti bertamu – menyusup perlahan mengisi urat jiwa. Dari situ aku membina kekuatan dalam menjalani hidup di perantauan juga membina kesediaan memahami kehidupan bersama tarbiyah dan tazkiyah.
MENENGADAH KE LANGIT, CINTA YANG KUDUS DAN PENGHARAPAN HAMBA
Setahun berlalu dari titik pertama itu. Suatu malam aku diajak meneliti ayat-ayat Surah Al Baqarah. Ayat 144. Ayat ini datangnya selepas ayat 143 – ayat tengah pada surah Al-Baqarah yang mempunyai 286 ayat dan pada ayat 143 ini jugalah ada perkataan ‘wasata’ yang mana dari segi bahasanya juga bermaksud ‘pertengahan’. Mengetahui hakikat ini, hati terpujuk untuk merasai indahnya ketelitian Tuhan dalam menyusun firmannya.
Pada ayat 143 ini jugalah aku dikenalkan dengan hakikat penyaksian dan tanggungjawab manusia sebagai makhluk yang telah diciptakan sebagai khalifah.
Dan demikianlah, Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) ‘umat pertengahan’ , supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. Dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya) dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada orang-orang (yang beriman).(143) 
Kemudian, datanglah waktu itu, saat temanku mula bercerita tentang ayat 144. Dia membawa aku melihat indahnya salah satu kisah yang ALLAH Maha Esa pilih untuk dijadikan tatapan umat manusia sepanjang zaman. Kisah ini berkisar tentang Ar-Rasul dalam menghadapi waktu-waktu ketika kiblat umat Islam adalah Baitulmaqdis.
Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan. (144)
Al Marhum Syed Qutb mengulas tentang ayat ini dengan menceritakan betapa indahnya akhlak Rasulullah sebagai hamba, walau hatinya gusar kesedihan tapi kerana menjaga sifatnya sebagai hamba Tuhan, baginda hanya memandang ke langit tanpa menyuarakan satu keluhan pun. Padahal saat itu baginda lebih menyukai Kaabah sebagai kiblat umat Islam dan juga baginda kesedihan menghadapi tohmahan-tohmahan orang Yahudi.
Kisah ini mengajarku indahnya makna kasih dan cinta. Allah berfirman - setiap saat RasulNya memandang ke langit, Dia tahu rasa hati RasulNya. Akhirnya Yang Maha Mengasihi, memperkenankan pengharapan hambaNya walaupun tidak satu perkataan pun keluar dari dua bibir utusanNya itu. Penceritaan cinta kudus yang menyentuh jiwa siapa sahaja yang menghayati. Andai ingin berbicara naif, boleh aku katakan itulah kali pertama hati aku mengenal cinta.
Dari saat itu, aku menjadi semakin cinta pada keindahan langit.
Kerana pada langit ada ketenangan. Zikrullah melapangkan lagi hati justeru menjemput ketenangan bertamu di ruang hati.
Melihat langit mengingatkan aku pada indahnya cinta dan kasih antara ALLAH dan Rasulullah. Kisah yang mengizinkan aku memahami rasa yang mengalir dalam jiwa Ar-Rasul. Rasa yang mengidupkan urat nadinya untuk terus hidup memperjuangkan agama Tuhannya serta istiqamah memburu redha Rabbnya.
Saat melihat langit aku juga berharap ALLAH akan kurniakan padaku jodoh dan kasih yang baik dari sisiNya. Kerana itu, bila suamiku melamar setahun yang lalu dengan kias bahasanya berkait dengan langit, hatiku tidak menolak mentah. Aku pertimbangkan lamarannya - bertanya pada keluarga, teman rapat dan memohon petunjuk dari Tuhan pemilik langit dan bumi. Bila keyakinan itu telah datang maka aku terima lamarannya bersama tawakkal pada ALLAH Yang Maha Mengetahui.
Dan dalam setiap saat bahagia dan manis akan aku cuba kaitkan dengan langit yang memayungi saat itu. Aku tahu ALLAH sentiasa memerhati.
Itulah langit - ciptaan yang mendatangkan damai, walaupun padanya segala rasa berbaur. Dalam damai itulah aku mencari upaya menguatkan yang lemah, mencari nafas menyambung kehidupan, mencari rasa menyambung cinta - pada Tuhan serta insan-insan yang aku cinta.
Itulah langit, sebahagian dari ciptaan Allah yang ada seribu satu makna. Benarlah firman Tuhan:
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (190)

Comments

Popular posts from this blog

Pahit bak hempedu..

keunikan suku Quraisy

Ama Zilna