Cerpen: Dunia Tuhan Ini Unik

*** Dunia Tuhan Ini Unik ***

“Ila, sudah awak beritahu Wafaa tentang program esok?” Tik bertanya pada Ila.

“…” tiada jawapan dari gadis itu. 

Perbualan putus di situ dan Tik berlalu pergi. Kelibatnya hilang di balik pintu menuju ke dapur. 

Tiba-tiba. Suatu jeritan yang punya aura ketegangan kedengaran dari ruang dapur rumah. Terus ke bilik Ila. 

“ Ilaaaa, Wafaa tak tahu pun”

Tegang. Suasana tegang seketika dan Ila bergegas turun ke dapur. 

Saat melihat Tik, dia katakan. 

“Saya ingatkan Zainab sudah beritahu Wafaa” 

Benar dia ingatkan begitu kerana dia merasakan itulah yang diperbualkan dengan Zainab beberapa hari yang lepas di corong telefon. Saat itu, kelibat Tik sudah hilang di balik pintu menuju ke tingkat atas. Pulang ke bilik.
‘Kecewa agaknya’ getus hati Ila

Seingat Ila, dia akan menguruskan projektor dan mengumpul video untuk program itu nanti dan Wafaa akan bertanggungjwab untuk memberi pengisian. Tatkala tahu yang Wafaa belum diberitahu tentang program esok, Ila tergamam dan kecewa.. 

Kecewa kerana dia tersedar bahawa dia sudah tersalah ingat. Bukan Wafaa yang akan uruskan pengisian, sebaliknya Laili. Kecewa juga pada dirinya kerana ‘perasaan itu’ masih bersisa. 

***Kisah kita dan Perasaan itu***

Wafaa dan Ila adik-beradik usrah. Sudah dua tahun. 

Tahun pertama ialah tahun mereka mula kenal satu sama lain. Gembira. Sekurang-kurangnya pada hati Ila.
Tahun kedua, tahun cabaran kerana tahun ini persahabatan dan keikhlasan masing-masing diuji. 

Tahun kedua, tahun sejarah bagi Ila. Kerana dia merasakan kehilangan seorang sahabat. Pada mulanya dia merasakan Wafaa menjauhkan diri darinya kerana dia semakin aktif dalam menyumbang kepada dakwah dan tarbiyah di kawasan mereka. Ila sangat bingung dengan situasi itu kerana dia menyangkakan mereka akan bersama-sama bangun dan mendokong dakwah ini seiringan. Sikap Wafaa yang menjauhkan diri dan banyak berdiam diri sangat-sangat merisaukan Ila. 

Dia merasakan sikap Wafaa semakin berubah hari demi hari. Semakin menjauh darinya. Bukan dari dia sahaja malah Wafaa juga seakan semakin dingin dengan tarbiyah. Wafaa kadang-kadang kelihatan seperti enggan menghadiri pengisian dan liqa’. Pernah sekali Wafaa lebih memilih untuk menemani tetamu melawat bandar berbanding menghadiri liqa’. Menyusur petang hari itu, Ila terbaca catitan yang menjeruk perasaan di blog Wafaa. Katanya sedang dalam kefuturan. Sakit hati Ila sebagai sahabat dan adik-beradik usrah kerana dia sedar dia tidak dapat menyumbang apa-apa. Bukan kerana tidak mahu membantu, tapi Wafaa seakan tidak membenarkan dirinya dibantu Ila. Bila ditanyakan 

‘Kenapa?’

‘(Iman) Awak sihat?’

Jawapan yang diterima hanya 

‘Saya O.K’ dengan nada tenang. 

Ila tahu Wafaa tidak ingin merisaukan orang lain. Dan dalam masa yang sama belum bersedia berkongsi rasa hati dengannya. Bersama rasa terkilan dan risau Ila tahu, Wafaa masih punya Zaleha, sahabat rapatnya, untuk dia ceritakan rasa hatinya. 

Setelah beberapa kali pertanyaan Ila disambut dengan ketenangan yang dingin, Ila membuat keputusan untuk menjauhkan diri. Dia merasakan Wafaa seakan perlukan masa untuk memahami perubahan persekitaran dan ingin ruang untuk sendiri. 

Bermula saat itu, tiada lagi bual mesra antara dua beradik itu. Ila hanya melihat perubahan Wafaa dari ‘kejauhan’. Dia merasakan adiknya itu dalam kesakitan. Selain daripada perubahan sikap, Wafaa juga seperti menghadapi tekanan perasaan yang amat. Wafaa sering jatuh sakit, demam kebanyakan masa. Selera makannya pun kurang dan berat badannya juga menyusut. Sikapnya ketika dalam halaqah juga sudah berubah. Andai dulu kebanyakan masanya dia dinamik, kini dia banyak mendiamkan diri. Ila tahu petanda itu. Dia kenal sikap Wafaa yang satu ini. Diam kebanyakan masa menandakan ada konflik dalam diri Wafaa. Dari sehari ke sehari, Wafaa menunjukkan tanda-tanda hilang minat pada beberapa perkara yang dia minat dahulu. Ayam, usrah seakan tidak lagi menggembirakan Wafaa. Kalau ikut diagnosis perubatan, depression namanya.

Ila mula berkira-kira kenapa semua itu berlaku. Dia inginkan jawapan kerana dia juga terkesan dengan perubahan itu. Ia berlaku dengan sangat drastik. Mana mungkin dia boleh menerima sikap Wafaa yang tiba-tiba menjauhkan diri darinya tanpa sebarang penjelasan sedangkan dia baru sahaja memberitahu Wafaa betapa dia sangat menghargai ukhuwah mereka bersama. Ila mula membuat beberapa pertimbangan. 

Mungkin adik manisnya itu terkejut dengan tuntutan dakwah tarbiyah pada tahun ini. Tahun ini mereka baru di tahun dua, walau bagaimanapun, keadaan seakan menuntut mereka untuk membuat pengorbanan terutamanya masa dan perasaan dalam menggerakkan dakwah di kawasan mereka. Ila, Wafaa, Tik dan beberapa sahabat mereka yang lain telah diberikan tanggungjawab oleh kakak-kakak mereka untuk sama-sama mengerakkan usrah halaqah dalam kalangan pelajar yang baru sampai ke kawasan mereka. Cabaran. Menjadi naqibah bukan senang apatah lagi naqibah bertaraf murabbi. Tapi, itu jauh lagi. Masih banyak yang perlu dipelajari. Cuma langkahan pertama itu tetap sukar. 

Kalau bukan kerana dakwah dan tarbiyah, mungkin Wafaa jadi begitu kerana dia masih dalam proses adaptasi terhadap tuntutan dan cabaran dalam persahabatannya dengan Zaleha. Mereka merupakan sahabat yang sangat rapat. Bagi Zaleha, Wafaa bagaikan suatu rahmat yang ALLAH kurniakan padanya dalam langkahan hidupnya. Melalui Wafaa, dia banyak mengenal keindahan agama yang dianuti sejak kecil itu. Wafaa banyak memberikan dia semangat untuk terus berubah, melayan kerenah dan tanda tanya yang banyak bermain di fikirannya. 

Malah Zaleha pernah menceritakan pada Ila bagaimana kisah Wafaa mula berjinak-jinak dengan tudung memberikan inspirasi padanya untuk juga berjinak-jinak dengan tuntutan agama itu. Ila melihat pergantungan Zaleha pada Wafaa yang semakin hari semakin kuat. Wafaa banyak memberikan masanya pada Zaleha.
Kalau nak tahu, Wafaa jenis yang comot sikit. Tak pandai nak sweet-sweet, tak pandai nak  manja-manja. Tapi sejak mengenal Zaleha, dia mula belajar mengambil hati orang lain. Sangat mengambil berat tentang Zaleha. Malah Ila pernah terlihat betapa Wafaa sememangnya meletakkan Zaleha sebagai sebahagian dari perkara yang perlu dipertimbangkan dalam dia merancang jadual hariannya. Tapi tidaklah Ila sengajakan perbuatannya melihat nota peribadi sahabatnya itu, kerana ia belaku tanpa dirancang. Sekilas. tapi cukup untuk dia melihat coretan itu. 

Hebatkan? Betapa Wafaa cuba untuk memberikan perhatian yang sebaiknya pada Zaleha. Ila tahu, salah satu sebab kenapa Wafaa sangat mengambil berat tentang Zaleha kerana dia sangat harapkan yang terbaik untuk tarbiyah Zaleha. Secara rasionalnya, Ila seharusnya tidak ambil pusing pun tentang itu malah seharusnya dia gembira kerana dua teman rumahnya itu berganding bahu menghidupkan tarbiyah satu sama lain. Tapi, mengenangkan Wafaa semakin menjauhkan diri darinya tapi masih bisa memberikan perhatian pada Zaleha, Ila sedih. Cemburu mungkin. 

Ila kecewa kerana dia semakin dijauhi sedangkan Zaleha mendapat sebanyak-banyaknya perhatian dari Wafaa. 

Wafaa pernah memberitahunya, sebelum sikapnya berubah, ketika dia masih membuka sedikit ruang perkongsian hati antara dia dengan Ila, tentang rasa hatinya terhadap persahabatannya dengan Zaleha. Wafaa merasa tekanan tuntutan untuk meladeni karenah Zaleha. Berbeza katanya dalam persahabatannya dengan sahabat-sahabatnya yang sebelum ini. Zaleha manja dan Wafaa tidak biasa meladeni kemanjaan manusia melainkan kemanjaan kanak-kanak, terutama anak-anak saudaranya. 

Entah, Ila bingung dalam memikirkan jawapan terhadap apa yang berlaku. Dia tidak tahu kerana dia bukan Wafaa.  

Yang Ila pasti ialah, salah satu sebab yang menyumbang kepada perubahan sikap dan ‘kesakitan’ yang dialami Wafaa adalah kerinduan dia pada keluarganya yang amat sangat. Sangat. Walaupun dia tidak pernah bersua muka dengan keluarga Wafaa dan tidak pernah melihat bagaimana Wafaa bergaul dengan keluarganya, Ila dapat menghargai betapa sahabat kecilnya itu sangat-sangat menyayangi keluarganya. Perihal keluarga merupakan antara perkara pertama yang Wafaa banyak kongsikan bersamanya di awal ta’aruf mereka. Malah sering dia mendengar Wafaa menelefon keluarganya yang jauh di seberang lautan, di tanah air sana.  

Ila juga tahu satu perkara lagi, iaitu dia dan Zaleha punya sikap yang sama. Manja. Tapi dia juga sedar satu perkara, Wafaa, tidak biasa melayan kemanjaan seorang budak dewasa. Bagi Ila, Wafaa sudah sangat-sangat berkorban untuk merubah dirinya menjadi seorang yang lebih mengambil berat akan rasa hati orang lain. Andai jika dia menjauhkan diri akan lebih menyenangkan hati Wafaa maka apa salahnya untuk dia memberinya sedikit ruang.  

Ila merasakan cukuplah untuk Wafaa berkorban dan berusaha untuk memahami seorang sahaja antara mereka dan Ila merelakan untuk senyap dari terus menuntut perhatian dari Wafaa. Bagi Ila, pengorbanan dan ujian yang dilalui Wafaa sudah sangat berat. Untuk seseorang yang tidak manja pada sahabat, tapi terpaksa berusaha untuk meruntuhkan ketidakbiasaan dan keegoaannya demi memahami serta meladeni seorang sahabat yang disayanginya bukanlah perkara yang senang. Pada Ila pasti banyak prinsip diri yang perlu dia ubah dan sikap yang perlu Wafaa korbankan demi memenuhi keperluan menjadi seorang sahabat kepada Zaleha. 

Ila relakan dia menjauh. Walau bagaimanapun, untuk menerima hakikat bahawa kita tidak dapat menunjukkan kasih sayang kita pada orang yang kita sayang tambahan pula yang sering kelihatan di mata, pasti sangat menyakitkan. Untuk Ila, sakitnya amat sangat. Di tambah dengan sikapnya yang memang penuh dengan perasaan dan suka melayan perasaan. 

Sepanjang dia berkeputusan untuk memberi ruang pada Wafaa untuk bersendirian dalam menyelesaikan persoalan yang bermain di fikirannya serta memperbaiki hubungannya dengan Zaleha, banyak yang telah Ila pelajari. Baginya setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Pasti ada sesuatu yang ALLAH ingin ajarkan kepadanya supaya dia lebih dekat padaNya. Walaupun dia masih merasakan kesakitan dan kekecewaan terhadap apa yang berlaku, dia cuba untuk memikirkan hikmah atau ‘ketukan’ yang cuba ALLAH sampaikan padanya. 

*Menggapai kesempurnaan iman*

Ila merasakan peristiwa ini mengetuk dirinya untuk melihat kembali melihat hadis Rasulullah yang menjadi sebahagian kumpulan hadith Arbain Imam Nawawi: 

Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri 

Apa yang mengetuk fikiran Ila ialah tentang saudara dan tuntutan menyayangi seperti diri sendiri itu. 

Perkara yang berlaku membuatkan dia tersedar bahawa dia sebenarnya tidak memenuhi hak sahabatnya yang lain untuk dihargai sebagai seorang saudara seakidah, terutamanya teman rumahnya yang lain. Ila, seorang yang sangat berfokus dalam menyayangi seseorang. Dan Wafaa merupakan teman pertama yang dia mula untuk sayangi sejak Ila tiba di tanah permaisuri ini dan perasaan itu membesar dengan laju. Sehinggakan ada waktu Ila terlepas pandang pada hak sahabat lain. Sejak itu, Ila berjanji untuk lebih memahami hadith ini dan mengidupkannya. Saudara itu semua. Semua yang akidahnya sama. Yang mengucapkan Lailaha illallah. 

‘Caranya? Yang paling mudah ialah senyum dan salam untuk semua yang seakidah walau tidak kenal’  

Peristiwa dinginnya persahabatan mereka ini juga membuatkan Ila terfikir tentang bagaimana lagi kita dapat menyayangi seorang saudara itu andai kita tidak dapat pun untuk menunjukkan sayang padanya. 

Mungkin gagal menunjukkan sayang kerana jauh jarak. Ila juga punya seorang sahabat baik yang nun jauh di tanah air yang dia sangat sayang dan kenangkan tapi tidak mampu untuk diladeni senantiasa kerana masa di tanah permaisuri dan tanah air tercinta bezanya 8 jam. Saat kita di sini malam, mereka di sana siang. Tugasnya di sini pula bukan semata sebagai seorang pelajar tapi ada tugasan full-time lain yang sedang dipelajarinya. 

Atau mungkin juga gagal kerana sempitnya ruang komunikasi. Sebagaimana dia dan Wafaa sekarang. Ila rasakan apa yang berlaku amat membuatkan dia bingung untuk memulakan sebarang langkah pun dalam berbicara dengan Wafaa sebagaimana dulu. Sukar. 

‘Semoga ALLAH ampunkan aku andai apa yang aku rasai ini salah dan semoga Dia tunjukkan padaku bagaimana seharusnya aku bersikap’ itulah pinta Ila pada Tuhan setiap kali hatinya digaru kecewa dan rasa terkilan itu. Dia juga tidak ingin hidup dalam jeruk perasaan selalu. 

Hari demi hari, Ila merasakan, paling sikit pun yang dapat dia sumbang dalam persahabatan mereka demi menghidupkan tuntutan hadith tadi, Ila rasa ialah untuk dia senantiasa mendoakan kesejahteraan sahabatnya itu dunia akhirat. Mendoakan yang terbaik untuknya. Tidak bersama, berbicara dan bergurau senda sepanjang masa tidaklah bermakna tidak boleh menyayangikan?
Iya. Itulah yang Ila faham dari apa yang berlaku ini. Doakan yang terbaik buat sahabatmu. Dunia dan akhirat. Setiap saat. Sebagaimana engkau mendoakan dirimu dan keluargamu ke Syurga. Seperti itu jugalah buat sahabatmu. Bukan di kala tiada bicara dan gurau senda sahaja. Tapi setiap saat! Walau bagaimana rapat atau jauh pun kita dengan seorang ‘saudara’ itu. Dan pastinya, ingatan ini, tugasan hati diiringi izin yang Maha Penyayang. Tiada kuasa manusia atas urusan ini melainkan hanya berusaha untuk menghidupkan cinta sayang kerana ALLAH. Lillah!

"Dia-lah (Allah) yang memperkuat dirimu dengan pertolongan-Nya dan dengan orangorang Mukmin. Dan Dia Yang mempersatukan hati mereka (orang-orang Mukmin).Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamutidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka" (al-Anfal [8]: 62-63).

*Kini*

“Maaf, saya ingatkan Zainab sudah beritahu awak tentang program esok. Pasti Tik marahkan saya” tutur Ila pada Wafaa setelah memberitahunya tentang program makan tengahari dengan adik-adik usrah mereka esok.
“Tak mengapa. Kalau sudah salah, minta maaf. InsyaALLAH, tiada apa pun” balas Wafaa. Ringkas. 

Walau bagaimanapun, Ila masih bermuram. 

“Kalau sudah minta maaf, insyaALLAH tiada apa” ulang Wafaa sekali lagi dengan nada sedikir tegas. Pelik barangkali melihat reaksi Ila yang sangat sedih atas kemarahan Tik itu. 

Ila senyum. Tawar. 

‘Bukan kerana dia marah yang aku sedihkan. Kerana aku tahu sikapku salah. Itu yang aku sedihkan. Aku sedar aku masih menyimpan perasaan terkilan dan kecewa pada perubahan dan sikapmu. Itu yang aku sedihkan’ Ila bermonolog dalam hati kecilnya. 

Malam itu, ALLAH bukakan beberapa cerita untuk Ila. Pedih, gembira, terharu. Segalanya berbaur. Banyak perkara yang ALLAH bukakan hijabnya untuk Ila ketahui dalam beberapa minggu ini. 

Setelah beberapa ketika sunyi bersama mereka di dapur, Ila dan Wafaa mula berbual. Berbual kosong. 

“Saya ingin design bookmark  untuk kita jual atau gunakan di kawasan kita tahun depan” Wafaa memulakan bicara dengan menceritakan perancangan cuti musim panasnya di Malaysia nanti. 

Bookmark?” Ila mengulang. Kehairanan. 

‘Dia ada memikirkan tentang kita. Dakwah kita bersama. Ya ALLAH, betapa aku salah dalam menilai dirinya. Terlalu lama aku melayan perasaan kecewa. Mungkin kerana itu aku terlepas pandang pada perubahannya. Mungkin sebenarnya sudah lama dia berjaya menyesuaikan diri dengan keadaan dan tuntutan dakwah kawasan’ hati Ila digaru rasa bersalah. Bersalah kerana meragui kesediaan sahabatnya dalam menyumbang kepada dakwah dan tarbiyah. Terlalu lama Ila melayan perasaan itu. 

Ila tahu perkiraannya setengah tahun yang lepas bahawa Wafaa memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan perubahan tuntutan dakwah di kawasan mereka dan juga tuntutan pengorbanan dalam persahabatannya dengan Zaleha adalah tepat. Wafaa mengakuinya. Baru sahaja mereka berbual tentangnya beberapa minggu yang lalu. Malah saat itu, Ila tanyakan juga kenapa Wafaa menjauhkan diri darinya. Sudah setengah tahun Ila cuba untuk menghadapi hakikat itu malah dia sudah mampu menerima hakikat itu. 

“Waktu itu saya rindukan keluarga. Sangat rindu. Semua orang saya jauhkan diri. Bukan kamu seorang. Cuma mungkin kamu paling terkesan kerana sebelum itu kita banyak habiskan masa bersama dan berbicara bersama” Wafaa cuba menceritakan kisah dirinya. Memohon pengertian Ila mungkin. 

“Kenapa awak sisihkan saya?” Ila masih bertanya. Saat itu, tiba-tiba kekecewaan datang bertimpa-timpa. Mungkin syaitan yang menghasut. Atau mungkin sahaja Ila yang terbawa-bawa dengan perasaanya. Sejak beberapa hari ini, Ila sering tertekan dengan sikap beberapa orang di sekelilingnya yang tidak bertimbang rasa menyebabkan dia lebih mudah emosi dan sedih. 

“Kerana kamu senantiasa sibuk” balas Wafaa, setelah ditanya bertimpa-timpa. Saat itu, Ila gumam. Suatu jawapan yang tidak dia sangka akan diutarakan oleh adik-beradik usrah yang membesar bersamanya dalam tarbiyah. 

Ila pernah mendengar perkara ini dari sahabat baiknya yang ditinggalkan nun jauh di Malaysia apabila dia gagal untuk memberikan perhatian sebagaimana dia memberikan perhatian pada sahabatnya itu ketika dia masih di tanah air. Peristiwa itu sudah cukup untuk meninggalkan parut di hati Ila. Betapa dia merasakan dirinya tersepit antara sahabat dan tarbiyah. Tapi dia merasakan dia sudah menjaga hak sahabatnya secukupnya justeru dia meneruskan bergiat dalam tarbiyah. Urusan yang lain, urusan hati, Ila serahkan pada Yang Esa selagi mana dia menjaga hak yang perlu. Mengenangkan mungkin sahabatnya itu kerinduan dan kesedihan kerana mereka kini terpisah jauh, Ila cuba untuk bertenang walau hati masih kecewa. 

“Time heals” Ila menyakinkan dirinya. 

“Ini tarbiyah dari ALLAH. Ujian darinya” Ila cuba menguatkan semangatnya sendiri tatkala sokongan yang diharapkan dari orang yang dia sayang, tidak kunjung tiba. 

“ALLAHUAKBAR” zikir Ila dalam hati tatkala mendengarkan kata-kata Wafaa saat itu. Dan kata-kata itu terngiang-ngiang di kepala Ila selama beberapa ketika. Kecewa. 

Ila tidak sangka. Ila dan Wafaa pernah bicara suatu ketika dahulu bahawa bila kita bersahabat dengan akhawat (orang yang buat dakwah) memang banyak kena sabar. Masa dia bukan lagi untuk kita sahaja, tapi akan lebih banyak untuk mad’unya. Ila ingat mereka pernah bicarakan tentang ini bersama. 

Haru hatinya tatkala mengetahui kesibukannya yang tidak seberapa dalam dakwah itu menjadi salah satu sebab kenapa dia dijauhi sahabatnya itu. 

“Saya merancang untuk menziarahi keluarga Zaleha dan Muna. Saya rasa penting untuk menziarahi mereka. Sekurang-kurangnya keluarga mereka boleh tahu siapa kita. Jenis kawan yang mereka bersahabat. Ziarah boleh bantu kita bina kepercayaan keluarga mereka terhadap kita. Malah kita akan lebih kenal siapa keluarga mereka dan diri mereka sendiri. Mungkin ini akan membantu memudahkan kita untuk mengajak mereka ke mana-mana program selepas ini” kata-kata Wafaa menyedarkan Ila dari lamunannya. 

Ila tersenyum mendengar perancangan Wafaa. Terharu kerana adiknya itu sudah membuat banyak perancangan tentang dakwah dan tarbiyah cuti musim panasnya. Malah, dia juga fikirkan tentang Muna, adik jagaannya. Hati Ila berbunga. 

“MasyaALLAH, betapa banyak telah engkau berubah. Demi Zaleha. Demi tarbiyahnya. Kalau dulu aku katakan untuk menziarahi keluargamu engkau berkeras supaya aku tidak melakukannya. Tapi kini engkau merancang sebegitu sekali untuk Zaleha. Padahal alasannya sama. Untuk membantu kelangsungan tarbiyah. Aku tahu dulu kamu sukar untuk keluar ke program justeru itu aku ingin menziarahi keluargamu agar dapat membantu kamu dalam mendapatkan kepercayaan keluargamu. Tambahan pula, aku memang ingin mengenali mereka. Tapi engkau menolak dengan yakin. Subhanallah, dunia Tuhan ini unik. Setengah tahun, pelbagai perkara sudah berlaku” Ila bermonolog lagi dalam hatinya. Kali ini, lebih jauh dia mengelamun.

Tatkala ini juga tiada apa yang mampu Ila katakan pada dirinya melainkan, kamu kini bersahabat dengan akhawat. Perhatiannya akan pada mad'unya. Fikirannya akan pada tarbiyah dia dan mereka. Kerana dia juga akhawat.

*** Dunia Tuhan Ini Unik ***

Dunia Tuhan ini unik. ALLAH menyusun kehidupan hamba-hambanya sesuai dengan kudrat mereka. Yang terbaik untuk didikan mereka. 

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya... (Al-Baqarah 2:286)

Sibghah ALLAH. Siapa yang lebih baik sibghahnya dari ALLAH? Dan kepada-Nya kami menyembah. (Al-Baqarah 2:136)

Walaupun adik-beradik usrah, Ila dan Wafaa belajar dan mungkin memahami sesetengah perkara pada waktu-waktu yang berbeza. Pasti! Kerana kehidupan yang ditempuh seharian juga berbeza.
Iya! Inilah yang penting untuk dihargai dan difahami juga dalam kita menyampaikan keindahan dan kebenaran Islam kan? 

Setiap orang punya fasa dan waktu-waktunya sendiri. Walau apapun yang kita usahakan untuk sampaikan kepada mad’u kita atau sahabat kita, hanya Tuhan yang akan menentukan samada dia faham atau tidak. Yang penting kita membuatnya dengan cara terbaik dan mendoakan yang terbaik. Untuk kita, dia dan semua. 

Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya. (Al-Baqarah 2:269)

Tidaklah engkau diwajibkan menjadikan mereka mendapat petunjuk, akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendakinya (menurut undang-undang peraturanNya). Dan apa jua harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan. (Al-Baqarah 2:272)

Kerana dunia Tuhan ini unik jugalah, dalam ukhuwah yang dijanjikan ALLAH antara mukmin itu, kita juga perlu berlapang dada. Mujahadah selalu. Ukhuwah fillah tidak bermakna hanya kenangan manis dan saat indah sahaja yang akan kita kongsikan bersama. Cuma, ia membawa Tuhan bersama dalam persaudaraan itu. Memurnikannya persaudaraan dan seharusnya membantu membina kualiti muslim yang lebih hebat dalam diri kita.

Comments

  1. assalamualaikum..

    kak, kita dah habis baca. rasanya semacam jalan cerita ni pernah kita lalui..

    kita x pasti berkawan itu perlu atas apa. tapi yang pastinya kalau kita sendiri berkawan atas dasar tarbiyyah, kecewa itu selalu muncul.

    kecewa kawan tidak mahu ikut usrah,
    kecewa kawan seolah2 tak endah dgn perkara baik,
    kecewa bila yg baik2 x berjalan.

    kenapa ye kak? *senyum*

    kadang2 kita sangat teringinkan yg baik2 utk kawan kita tapi kita lupa fitrah dia sbg manusia. fitrah yg iman ada turun naiknya..

    kan? :)

    ReplyDelete
  2. apa2 pun, hidayah bukan milik kita. kita cuma boleh bentangkan jalan, tapi yang memegang hati manusia itu Ilah.

    maka, kena selalu ingat.. bahawa kawan kita itu (x kira siapa pun dia) adalah manusia.. an-nas.. yg seringkali terlupa.. kita pun begitu..

    Allah~

    terima kasih kak untuk cerpen ini :)

    ReplyDelete
  3. salam dearie,

    sorry for taking such a long time just to reply at ur question. still tak dapat appropriately respond to this question lagi. after akk exam insyaALLAH i'll try to give some responses. akk exam on 15th ni. ^^,..

    in the mean time, akk wonder if awk penah bc buku ni. Virus-virus ukhuwah (Abu Ashim)..i think it's a good book. akk x abes lg bc, but i think u can give it a try if u havent read it.

    hehehe

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Pahit bak hempedu..

Aku lebih Pengasih kepada hamba-hambaKu, daripada kasih sayang ibu terhadap anaknya

Ama Zilna